Friday 22 March 2024

MELANCONG DI PULAU MANTANANI, SABAH

 
Pulau Mantanani merupakan salah satu pulau tumpuan pelanconga dari dalam negara dan luar negara. Meskipun sudah terkenal boleh dikatakan ia masih belum diterokai sepenuhnya.

Pulau Mantanani terletak di Kota Belud, menjadi pilihan pelancong tempatan dan asing untuk beristirahat dan meneroka keindahan alam semula jadi di daratan mahun di dalam laut. Pulau Mantanani mempunyai seribu rahsia untuk diterokai.

Untuk ke Pulau Mantanani pengunjung perlu menaiki bot laju dari Jeti Kampung Kuala Abai, Kota Belud. Jeti Kuala Abai terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Kota Belud. Manakala dari Kota Kinabalu pula lebih kurang 85 kilometer.  

Setelah anda tiba di pulau, ada banyak aktiviti boleh dilakukan. Pulau ini terkenal dengan aktiviti menyelam. Kepelbagaian spesis ikan, batu karang, tumbuhan laut, dan banyak lagi khazanah alam yang ada sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja terpesona.

Jika anda tidak minat menyelam atau snorkel, anda masih boleh berkayak, bermain bola tampar, bola sepak, membina istana pasir, berjemur dan berenang, minum jus buah-buahan, atau sekadar berjalan-jalan sahaja di pulau ini.

Sama ada anda memilih untuk berehat atau sibuk dengan aktiviti, semua orang akan menemui kesesuaian untuk mereka semasa berkunjung ke sini.

Walau bagaimanapun, dalam bulan-bulan tertentu seperti Jun ke Disember, ada kemungkinana hujan lebat turun dan ribut petir.

Oleh sebab itu, masa terbaik untuk datang ke Pulau Mantanani adalah sekitar Januari ke Mei.

Di sini, anda akan dapat menikmati sinaran matahari yang memancar dan merasai sendiri kesejukan air lautnya. Anda pasti akan kagum dengan keindahan alam semula jadi di sini dan khazanah berharga yang Pulau Mantanani tawarkan.

Bagi yang sekadar ingin menggunakan snorkel melihat keindahan laut, anda bolehlah snorkel di tepi pantai atau mengikut bot yang ada di sana yang akan membawa anda ke lokasi menarik untuk aktiviti snorkel ini.

Di Pulau Mantanani, pengunjung berpeluang melihat burung-burung yang kebiasaannya membuat sarang di pulau ini kerana kurangnya pemangsa. Di sini adalah satu-satunya tempat untuk melihat burung hantu jenis Scoops Owl (Otus Mantananensis).

Pengunjung juga boleh melawat sekitar kawasan-kampung nelayan bagi melihat sendiri hidupan masyarakat di pulau ini.