Tuesday 29 March 2016

Mencari titik kekuatan


Janji Allah wajib kita percaya bahawa umat Islam tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit kepuakan dan kelompok.

Kemenangan umat Islam akan berlangsung apabila pengaruh golongan munafik dan hipokrit berkurangan. Krisis dan ujian akan menyerlahkan wajah sebenar mereka yang berkepentingan diri sendiri. Wajah-wajah jelik akan terserlah tanpa disedari oleh diri mereka sendiri.

Islam bagaikan api dalam sekam. Ia akan muncul apabila keadaan kelam-kabut. Islam akan muncul secara lebih jitu dan kuat. Ia akan membuahkan tenaga yang terpendam.

Lihatlah pada sejarah umat Islam yang panjang dan tidak pernah berbohong. Abu Bakar yang dianggap lembut dan lemah muncul seperti singa yang garang membanteras kumpulan murtad. Malah sanggup memerangi mereka yang tidak mahu membayar zakat, walaupun dalam bentuk yang minimum, iaitu tali hidung unta.

Peperangan Salib dan serangan tentera tartar yang lama tidak juga menghancurkan umat Islam. Ini menunjukkan umat Islam mungkin terleka malah terlena, atau sakit. Namun mereka tidak pernah mati. Mereka akan bangkit selagi akidah ada dalam diri mereka.

Apa yang perlu, keimanan dan akidah seharusnya tertanam dalam jiwa anak-anak Muslim. Apabila negara umat Islam terjajah begitu lama, namun akhirnya mereka bangkit memerdekakan negara mereka. Muncul pula para pejuang menentang penjajahan dari Aljeria hingga Moroko, Libya dan Palestin malah umat Islam di Asia Tenggara.

Justeru itu, paling ditakuti usaha musuh untuk mencabut akidah umat Islam, merosakkan umat akhlak dan mengetepikan perjalanan syariat Islam. Pentingnya, bagi umat Islam berada pada sikap kesederhanaan tidak menjadi golongan pelampau yang membawa wajah buruk kepada Islam. Tidak juga menjadi liberal yang sampai menghapus wajah Islam yang manis.

Buangkan khurafat sampai memuja kubur atau memuja pemimpin yang masih hidup sehingga tidak lagi bersedia mempertahankan kebenaran. Buangkan penyelewengan agama sehingga kekal dalam adat negatif tinggalan zaman jumud, sehingga tidak lagi mampu berkreativiti dan membawa pembaharuan bagi menegakkan sebuah tamadun baru.

Pada kesempataan kemelut umat Islam dunia Islam masa kini, para penguasa jangan sama sekali menzalimi rakyat dengan diskriminasi. Mereka yang kaya tidak harus merebut kekayaan bagi diri sendiri tanpa ingat akan hak golongan miskin dan papa. Para buruh harus dipertahankan hak-hak mereka dan tidak diabaikan.

Perluaskan syura secara menyeluruh. Tidak perlu meniru sesetengah pemimpin Arab yang tidak mahu mati kecuali atas kerusi presiden atau takhta. Umat Islam dijamin oleh nabi tidak akan bersatu atas kesesatan. Akan tetap ada golongan pembaharuan yang membawa islah dan tajdid pada setiap masa. Keadaan negara kita pada hari ini, jauh lebih baik berbanding dengan lima puluh tahun lampau.

No comments:

Post a Comment