Tuesday 29 March 2016

Janji kemenangan Islam

Bukan krisis kecil berlaku sebaik sahaja Rasulullah SAW wafat, akhirnya ia dapat ditangani secara yang bijaksana oleh para khalifah umat Islam. Malah lebih besar krisis selepas pembunuhan Sayidina Uthman Bin Affan, tetapi dapat juga diselesaikan.

Apa lagi keadaan yang tidak berlaku kepada umat Islam? Daripada kejatuhan khilafah di Baghdad pada masa lampau, hingga kejatuhan Uthmaniah Turki dan kehancuran Baghdad sekali lagi pada zaman moden ini.

Islam akan tetap berkembang. Hatta di Asia Tengah ketika umat Islam ditindas dengan kejamnya, namun pergerakan umat Islam berjalan, walaupun dalam keadaan lembap. Hanya menunggu saat kelahiran pemimpin yang berwibawa, umat Islam akan bangkit semula selepas persiapan yang baik berlaku.

Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam.

Hanya umat Islam harus sentiasa berfikir dan bertindak secara strategik menghadapi apa-apa keadaan pun. Kadangkala keadaan yang sentiasa tenang dan relaks itulah yang melalaikan banyak pihak.

Kemelut dan krisis membuatkan orang semakin waspada. Justeru itu umat Islam tidak harus takut menghadapi apa-apa keadaan sekalipun, asalkan sahaja mereka tahu mengambil kesempatan strategik atas apa keadaan yang berlaku.

Janji Allah wajib kita percaya bahawa umat Islam tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit kepuakan dan kelompok.

Banyak juga ayat al-Quran yang menggambarkan ketika menerima ujian, ketika itulah umat Islam lebih dekat dengan kemenangan sebenar.

Mana-mana pihak yang gagal mempertahankan Islam akan ditukar dengan pihak yang lebih berpotensi untuk menjaga risalah Allah SWT itu. Malah Rasulullah SAW menjanjikan Islam akan terus berkembang seantero dunia.

Keadaan inilah menyebabkan orang Barat semakin menunjukkan kebencian kepada orang Islam, kerana Islam makin bertapak di Amerika mahu- pun di Eropah termasuk Belanda.

Hadis Nabi juga ada menjanjikan kemunculan kemakmuran di negara-negara umat Islam sehingga sampai ketikanya tidak ada lagi mereka yang akan menerima sedekah (zakat). Ini menunjukkan berkat keadilan Islam.

Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.

No comments:

Post a Comment