Friday 20 May 2016

HULUR BANTUAN KEPADA GOLONGAN MISKIN

Di sekeliling kita sebenarnya terlalu banyak insan-insan yang mengharapkan bantuan pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) maupun individu. Bantuan itu diperlukan untuk meneruskan kehidupan lebih selesa, tujuan perubatan ataupun menceriakan sedikit kesedihan yang ditanggung selama ini. 

Dalam akhbar dan majalah serta televisyen kerap menyiarkan kisah penderitaan individu dan keluarga yang memerlukan bantuan orang ramai. Betapa banyaknya insan di sekeliling kita yang sebenarnya boleh dikategorikan sebagai bernasib malang

Laporan itu bukan sekadar untuk melariskan jualan akhbar, tetapi juga merupakan satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan. Laporan itu juga bukan setakat untuk dibaca dan kemudian tidak ada apa-apa yang belaku. Ia memerlukan tindakan orang ramai untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Alhamdulillah, banyak laporan yang disiarkan di akhbar mendapat respon yang positif daripada pihak yang berkaitan dan orang ramai. Nasib insan malang yang dilaporkan itu sedikit terbela dan ada yang dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu selama ini.  

Sumbangan itu tidak kisahlah sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, tenaga, khidmat nasihat dan apa-apa jua yang dapat membantu golongan itu. Setiap sumbangan pastinya memberi kebaikan kepada penerimanya.

Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap prihatin dan pemurah. Jika ada bencana di luar negara, rakyat Malaysia adalah antara yang terawal menghulurkan bantuan. 

Pelbagai jenis tabung yang dikendalikan oleh kerjaaan, pihak swasta dan NGO diwujudkan untuk menerima bantuan orang ramai bagi disalurkan kepada mangsa atau golongan yang daif di luar negara. Kutipannya ada yang mencecah jutaan ringgit untuk setiap tabung.

Beberapa nama NGO Malaysia kini terkenal di seluruh dunia, khususnya di negara yang pernah mereka menyumbangkan bantuan. Malah, ada NGO antarabangsa dengan kerjasama NGO Malaysia kini menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan untuk menyalurkan bantuan bencana di negara-negara rantau Asia.

Selain memberi bantuan di peringkat antarabangsa, kita sepatutnya turut memberi tumpuan untuk membantu golongan daif di negara kita. Mereka ini sepatutnya lebih diutamakan untuk mendapat bantuan kita. Ini tidak pula bermakna perlu menghentikan bantuan kepada rakyat di negara lain. 

Hubungan peringkat antarabangsa memang perlu diwujudkan. Ia secara langsung menaikkan imej negara di mana masyarakat antarabangsa. Rakyat negara kita juga mungkin pada masa akan datang memerlukan bantuan luar negara apabila berlaku bencana besar.

Kepada yang bernasib baik, bersyukurlah dan menghargai setiap kebaikan yang dimiliki sekarang. Salah satu tanda bersyukur ialah menghulurkan sedekah dan bantuan kepada yang memerlukan. Masyarakat prihatin mudah tersentuh hatinya untuk menyumbang membantu individu lain yang mengharapkan bantuan.

Sedikit sumbangan yang dihulurkan kepada golongan daif atau mengharapkan sesuatu bantuan amat bermakna. Bagi golongan kaya mungkin merasakan jumlah itu terlalu kecil yang sekadar cukup untuk sekali belanja. Memang jurang perbezaan perbelajaan golongan kaya dengan golongan miskin amat ketara.

Jumlah yang disediakan untuk sekali makan di hotel mungkin boleh digunakan untuk belanja makan sebulan bagi satu keluarga miskin.

Sekali berbelanja di pasar raya bagi orang kaya mungkin menyamai pendapatan sebulan seisi rumah golongan miskin. Jika tidak penuh sebuah troli, akan terus dicari-cari barang biarpun tidak begitu penting untuk digunakan.

No comments:

Post a Comment