Wednesday, 22 November 2017

KEMELUT DIHADAPI UMAT ISLAM


Dalam sejarah umat Islam yang panjang, ia tidak terlepas daripada kemelut dan krisis. Cabaran demi cabaran terpaska dihadapi sebagai rencah perjuangan. Kita tidak harus menjadi panik dan bimbang tidak menentu dengan apa juga yang berlaku.

Namun tidak pula bermakna berpeluk tubuh tanpa melakukan tindakan untuk menjadi lebih baik atau mengurangkan keburukan. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum tanpa kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.

Kekuatan yang ada pada Islam, jauh melampaui kekuatan umat Islam. Islam menjanjikan kemenangan kepada umatnya. Maka, jangan mudah mengalah dengan cabaran.   

Apa sahaja yang dilakukan atas niat menunaikan tuntutan agama. Muslim sentiasa pergi dan datang dengan misi melakukan apa diperintahkan. Satu generasi pergi satu generasi baru pula akan datang.

Islam tetap hidup dan berkembang. Apa yang penting usaha terus berjuang. Letak pada sasaran yang terbaik dan tertinggi. Berserahlah kepada Allah agar memberikan kejayaan.

Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam.

Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.

Perpecahan sesama ummah akan menyebabkan kegagalan mencapai kehidupan lebih baik. Perebutan kuasa menjadi barah dalam masyarakat Islam. Apa yang berlaku di negara Islam memerlihatkan sikap gila kuasa dan tamak kepada keduniaan sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri.

Paling menakutkan apabila pada masa sama ada pihak menyerang pemikiran umat Islam melalui faham liberalisme dan pluralisme yang mengajak umat Islam untuk menerima perubahan dan keterbukaan berkaitan hukum Islam. Mereka juga mengubah hukum mengikut tafsiran lojik tanpa mengambil kira usul fikah.

Justeru itu, paling ditakuti usaha musuh untuk mencabut akidah umat Islam, merosakkan umat akhlak dan mengetepikan perjalanan syariat Islam.

Pentingnya, bagi umat Islam berada pada sikap kesederhanaan tidak menjadi golongan pelampau yang membawa wajah buruk kepada Islam. Tidak juga menjadi liberal yang sampai menghapus wajah Islam yang manis.

No comments:

Post a Comment